ahmadkhawari@bharian.com.myKelantan, NS mahu akhiri kemarau julang Piala MalaysiaJAGOAN Piala Malaysia (dari kiri) Rezal Zambery (kapten Negeri Sembilan), Wan Jamak, Sathianathan dan Indra Putra Mahayuddin (kapten Kelantan) dipertemukan di Bukit Jalil, petang semalam. Malam ini jadi penentu siapa berhak membawa pulang Piala Malaysia musim 2009.
SEBAHAGIAN penyokong pasukan bola sepak Kelantan menunjukkan risalah "Semua Tiket Untuk Perlawanan Akhir Habis Dijual" di pintu masuk Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang semalam. KUALA LUMPUR: Penantian lama yang dikongsi Kelantan dan Negeri Sembilan untuk menjulang trofi Piala Malaysia, akan terlerai apabila kedua-dua pasukan beraksi pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Ketika kedua-duanya diakui memiliki barisan hampir seimbang untuk menunjangi misi merealisasikan matlamat berkenaan, namun hanya satu pasukan akan menamatkan kemarau panjang itu.
Dalam sejarah 88 tahun kejohanan tertua bola sepak negara, skuad Kelantan yang diberi jolokan 'Red Warriors' belum pernah memenangi piala berprestij itu manakala Negeri Sembilan kali terakhir menjulangnya pada 1948.
Pada perlawanan penentuan malam ini, Kelantan mengharapkan sentuhan berbisa pemain utamanya, seperti Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Mohamad dan Khalid Jamlus, tetapi pasukan 'Hoben Jang Hoben' juga mempunyai tunggak setanding seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha Abdul Radzak, untuk menghalang impian skuad Cik Siti Wan Kembang.
Antara peminat setia pasukan "Red Warriors" yang turun padang dengan membeli barangan dan shopping semalam Lagi gambar para peminat setia pasukan "Red Warriors" (yang sama juga) sedang memilih barangan cenderamata (tapi sempat lagi posing)
Malah, kehangatan suasana final Piala Malaysia sudah dirasai sejak awal pagi semalam apabila ribuan penyokong kedua-dua pasukan berasak-asak untuk membeli baki 5,000 tiket di kaunter Stadium Nasional yang habis dijual dalam tempoh sejam.
PENYOKONG pasukan Kelantan berkumpul di hadapan kawasan Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk menyaksikan Perlawanan Akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Bukit Jalil.
Sebelum itu, lebih 65,000 tiket habis dijual di Kelantan, manakala 15,000 lagi dibeli penyokong Negeri Sembilan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan semua 85,000 tiket habis dijual dan menasihatkan penyokong yang tidak mempunyai tiket supaya menonton siaran langsung perlawanan itu di TV1.
Namun, di sebalik keghairahan itu, ada pihak yang mencemarkannya dengan kelihatan 'ulat tiket' menawarkan tiket berharga RM20 setinggi RM90 di perkarangan luar stadium, petang semalam.
Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan dan rakan sejawatnya dari Kelantan, B Sathianathan, saling mengelak dilabel pasukan pilihan.
"Kami senang dengan tumpuan media kepada Kelantan. Ia membebaskan pemain daripada tekanan kerana kami memang bukan pilihan," kata Wan Jamak.
Sathianathan pula berkata: "Saya tidak tahu bagaimana kami boleh dianggap sebagai pilihan. Daripada empat pertemuan musim ini, Negeri Sembilan menang tiga. Lagipun sebelum ini, kami pernah dianggap pasukan tanpa langsung ada peluang."
Kredit gambar/teks : Berita Harian, Sabtu, 7 November 2009
Facebook Aiman/Eme
Kawe@MCC