Monday, November 23, 2009

Laporan Banjir Terkini Di Kelantan

Banjir Makin Buruk

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
UTUSAN MALAYSIA, 23 NOVEMBER 2009

# Di Terengganu 5,641 mangsa daripada 1,288 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

# 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ‘berkampung’ di tujuh sekolah menengah di Besut bagi pastikan mereka dapat duduki peperiksaan hari ini.

# Jalan Sungai Tong-Kuala Berang ditutup kerana dinaiki air setinggi 1.2 meter, Jalan Penarik-Permaisuri (0.5 meter), Jalan Ajil - Kuala Berang

(0.9 meter).

# Di Kelantan 2,668 mangsa daripada 480 keluarga dipindahkan ke 729 pusat pemindahan.

# Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Kuala Krai, Sungai Golok dan Rantau Panjang melebihi paras bahaya.

KOTA BHARU 22 Nov. – Keadaan banjir di negeri ini semakin teruk menyebabkan seramai 2,668 mangsa daripada lebih 480 keluarga dipindahkan ke 729 pusat pemindahan banjir hari ini.

Laman web mengenai banjir di negeri ini melaporkan, setakat pukul enam petang ini, Jajahan Pasir Mas paling terjejas teruk apabila sejumlah 910 mangsa daripada 240 keluarga dipindahkan.

Menurut laman web itu, Jajahan Kuala Krai turut terjejas teruk selepas banyak kawasan rendah dinaiki air menyebabkan 669 mangsa berpindah ke lapan pusat pemindahan yang dibuka.

“Di Jajahan Tanah Merah, seramai 251 mangsa dipindahkan membabitkan 58 keluarga manakala 119 mangsa daripada 26 keluarga dipindahkan di Jajahan Jeli.

“Di Pasir Puteh, 36 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan manakala 19 lagi mangsa daripada empat keluarga turut berpindah di Jajahan Machang,” lapor laman web tersebut.

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menunjukkan paras air di beberapa sungai utama iaitu Sungai Kelantan di Kusial dan Kuala Krai serta Sungai Golok di Jenab dan Rantau Panjang telah melebihi paras bahaya.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi mengesahkan beberapa jalan di negeri ini telah ditutup akibat dinaiki air.

Jalan Kampung Panglima Bayu dan Kampung Kajang di Rantau Panjang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air sehingga sedalam satu meter.

Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kilometer 45 turut ditutup kepada kenderaan ringan kerana turut mengalami nasib sama.

Jalan Tanah Merah-Kusial di Kilometer 6.7 turut ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Dapatkan INFO TERKINI keadaan banjir di Kelantan. KLIK DI SINI.

Kawe@MCC

0 comments: