Salam semua ahli MCC,
Hari ini, Ahad, 31 Oktober 2010, Ayahngah cuti. Rakyat Kelantan telah diberikan cuti umum (cuti peristiwa) kerana meraikan kemenangan Kelantan menjuarai Piala Malaysia tahun 2010. Piala berprestij ini menjadi milik Kelantan pada tahun ini setelah empat kali mencuba nasib sejak tahun 1955 lagi. Ayahngah spertimana semua rakyat Kelantan, baik yang berada di dalam negeri ataupun yang berada di luar negeri Kelantan merasa bangga dan amat puas sekali di atas kemenangan ini yang ternyata hasil dari kerja keras setiap pemain dan semua pihak termasuk penyokong bolasepak Kelantan yang begitu bersemangat dan memberikan sokongan padu. Seramai 60,000 orang penyokong Kelantan berbanding dengan penyokong Negeri Sembilan yang seramai 30,000 orang, membanjiri Stadium Bukit Jalil memberikan satu gambaran bahawa rakyat Kelantan memang BERSEPAKAT, MEMPUNYAI SEMANGAT KEKITAAN YANG KENTAL DAN TIDAK LUNTUR SERTA SEDIA BERSATU DEMI SATU MATLAMAT. Setiap penyokong yang datang bertandan ke Bukit Jalil telah mengorbankan MASA, TENAGA dan WANG RINGGIT semata mata untuk memastikan kemenangan dan kejayaan kepada Kelantan. Sorakan yang padu dari penyokong berbaju merah telah menlenyapkan sorakan dari penyokong berbaju kuning dari minit pertama sehinggalah piala dijulang. Syabas...! pemain bolasepak Kelantan.
Semangat sebegini seharusnya terus diterapkan dalam diri setiap ahli MCC bagi memastikan semua ahli bersatu dan mempunyai semangat kekitaan sebagai satu keluarga. Saling ber `chating’ dan menulis dalam blog membungaclanclub dapat menghidupkan dan menceriakan suasana dalam blog yang kita semua telah akui sebagai satu medan untuk berinteraksi dikalangan kita. Diakhir-akhir ini Ayahngah dapati blog membungaclanclub sunyi sepi bagaikan sebuah rumah tanpa penghuni, tanpa gelak ketawa anak-anak kecil. Setiap kali blog dibuka, hanya lagu tema yang beralun sayu menghiasi laman itu. Ketiadaan penghuni, termasuk Ayahngah sendiri, mungkin terlalu sibuk dengan urusan kerja harian atau tidak lagi berminat untuk melayari blog kerana sudah ada fb. `LUANGKAN SEDIKIT MASA EMASMU, KERANA MEREKA MEMERLUKANMU’. Melalui tulisan ini Ayahngah menyeru kepada setiap ahli MCC supaya dapat meluangkan sedikit masa, walau sesibuk mana sekalipun untuk menceriakan blog membungaclanclub dengan membuat sedikit coretan, artikel, penulisan atau mempamerkan apa sahaja foto berkaitan kegiatan harian/peristiwa bagi tatapan bersama. Kita telah bersama-bersama menubuhkan blog membungaclanclub, bersama-sama memberikan nafas, dan kali ini, kita bersama-sama meneruskan keceriaannya.
Ayahngah mencadangkan kepada ` moderator’ supaya dibuatkan satu jadual giliran, mungkin seminggu sekali, atau sebulan sekali, bagi setiap keluarga atau setiap orang ahli MCC menyumbangkan, secara wajib, apa-apa sahaja yang difikirkan sesuai untuk dihiaskan dalam blog. Kalau dalam fb dapat di tulis sesuatu, mengapa tidak didalam blog membungaclanclub? Mungkin agak sukar bagi `veterans’ di Tanah Merah untuk melayari internet, tetapi tugas ini dapat diwakilkan kepada mana-mana ahli keluarga bila tiba gilirannya nanti. Apa sahaja yang disumbangkan ke dalam blog membungaclanclub akan menjadi sebuah jambatan kukuh yang menghubungi antara satu sama lain. Teladanilah semangat kesepakatan dan perasaan kekitaan sepertimana penyokong bolasepak Kelantan.
Sekian, Wassalam.
Ayahngah,
Presiden Membunga Clan Club