Sunday, December 23, 2007

Terkini : Jalan Gua Musang-Jeli pula ditutup

GUA MUSANG 22 Dis. - Jalan Gua Musang-Jeli ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di Kilometer 45 dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, dekat sini, pagi ini.

Ia sekali gus menyebabkan hubungan jalan raya antara Kota Bharu dan Gua Musang terputus sama sekali.

Jalan berkenaan merupakan laluan alternatif sejak seminggu lalu bagi perjalanan ke Kota Bharu dan Gua Musang selepas jalan utama iaitu Jalan Kuala Krai-Gua Musang ditutup juga akibat tanah runtuh yang berlaku di Kilometer 65.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi ini, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, buat masa ini belum dapat dipastikan bila laluan itu dapat dibuka semula memandangkan keadaan tanah runtuh itu agak serius.

Katanya, kejadian itu juga merupakan yang kedua berlaku di jalan alternatif itu dengan yang pertama di Kilometer M 36 dekat Kampung Kuala Lah menjelang Aidiladha lalu yang masih dibuka selorong.

"Tetapi kejadian pagi ini membuatkan kedua-dua lorong terpaksa ditutup. Alternatif sekarang dari Gua Musang ke Kota Bharu dan sebaliknya ialah melalui Lojing dan ke Ipoh sebelum memasuki Jalan Raya Timur Barat atau melalui Pahang dan Terengganu," katanya.

Sementara itu, Ahmad Termizi meminta kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan penutupan jalan bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah selain merugikan masa perjalanan apabila terpaksa berpatah balik.

Beliau berkata, selain itu, pengangkutan kereta api adalah pilihan terbaik untuk ke Kota Bharu atau sebaliknya.

"Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang sekiranya ingin mendapat perkembangan terkini sebelum mereka memulakan perjalanan.

"Mengenai Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang runtuh sejak lebih seminggu lalu juga masih belum dibuka kepada orang ramai dan kerja-kerja membina jalan lencongan masih dijalankan," katanya. - Utusan

0 comments: