|
|
KEBUN kelapa sawit di pinggir kawasan perumahan dekat Putra Heights, Subang Jaya yang biasanya hening bertukar riuh apabila ratusan basikal bertali-arus meluncur dari puncak Bukit Cermin, di situ.
Pertandingan turun bukit atau lebih dikenali dengan acara downhill boleh dikatakan antara kategori paling ekstrem dalam sukan basikal pada masa sekarang.
Sepanjang pertandingan, tidak ada kayuhan mendaki sebaliknya semua adalah acara menurun. Semestinya, faktor penentu juara hanyalah kemahiran mengekalkan momentum dan mengawal basikal yang meluru laju.
Ketika penonton meredah laluan lecak dan struktur tanah berbukit di situ, pelbagai aksi dapat dilihat. Ada penunggang yang jatuh tergolek dan ada yang melakukan lompatan dengan baik.
Cabaran utama trek sepanjang 1.5 kilometer (km) itu adalah laluan di Rock Garden yang mana penunggang menyusuri permukaan berbatu yang licin pada kecerunan kira-kira 70 darjah.
Pilihan laluan ‘selamat tetapi jauh’ (chicken loop) disediakan bagi penunggang yang kurang yakin untuk melakukan aksi menggerunkan itu.
Namun bagi yang berjiwa kental, setiap halangan ditangani dengan pergerakan tangkas dan agresif disokong oleh sistem suspensi depan belakang basikal yang berharga puluhan ribu ringgit.
Pedal kayuhan jarang digunakan. Kelajuan kadang-kala diperlahankan terutama ketika mengambil selekoh sebaik menuruni puncak bukit kerana tersilap langkah penunggang pasti terlompat keluar dari trek.
Putaran tayar yang laju merempuh laluan berbatu yang dilimpahi air dari anak-anak sungai berhampiran menambah cabaran kepada setiap peserta untuk mengejar masa terpantas.
Oleh kerana laluan yang sempit, ia tidak dilakukan mengikut konsep perlumbaan serentak. Sebaliknya setiap peserta dilepaskan secara bergilir-gilir mengikut kategori dan dinilai dengan catatan masa.
Cabaran terakhir adalah lompatan tanjak setinggi kira-kira dua meter merentasi sebatang anak sungai sebelum alat pencatat masa merekodkan masa yang diambil oleh setiap peserta untuk menghabiskan kayuhan.
Pertandingan yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Terbuka, Master (30 tahun ke atas), Junior (18 tahun ke bawah) dan hardtail (satu suspensi) itu disertai oleh 107 peserta.
Pertandingan
Di antara kategori yang dipertandingkan, catatan masa terpantas dilakukan oleh penunggang kategori terbuka iaitu, Muhammad Aim Mohamad Fauzi yang menamatkan kayuhan dalam masa 2 minit 37 saat.
Penunggang basikal UMF-Merida daripada pasukan Animal Klover itu sebelum ini menjuarai Kiara Downhill Domination (KDD5) dalam kategori yang sama.
Muhammad Ain ketika ditemui berkata, rahsia menamatkan pusingan dengan masa terpantas adalah tunggangan tanpa jatuh dengan memberi perhatian penuh kepada setiap halangan.
‘‘Keupayaan untuk melakukan semua itu bukan sahaja datang dengan keberanian tetapi memerlukan tunjuk ajar dan latihan yang berterusan,” katanya.
Kemenangan itu katanya, memberi makna tersendiri kerana berjaya mengatasi penunggang Singapura, Tan Hong Chun yang menjadi juara keseluruhan ketika pertemuan mereka di Bukit Kiara, Januari lalu.
Pada Cabaran Downhill Bukit Cermin, Hong Chun penunggang pilihan daripada pasukan AG Suspension yang bersaing dalam kategori sama mendapatkan tempat kedua keseluruhan dengan catatan masa 2 minit 40 saat.
Kategori Master dimenangi oleh Kanesh dengan masa 2 minit 49 saat, Juniur oleh Muhd. Fareez Borhanudin dari pasukan Team Rich dengan masa 2 minit 49 saat, manakala kategori Hardtail oleh Mohd. Noor Hairi Hassim dari pasukan PedalGear dengan masa 2 minit 58 saat.
Antara yang memberi saingan dan menjadi tumpuan pada hari kedua (akhir) pertandingan adalah penunggang-penunggang yang ditaja seperti pasukan Animal Clover, AG Suspension, KSH Cycles dan Fakawi Banshee.
Tajaan
Pada setiap pertandingan, matlamat penunggang bukan hanya untuk menang tetapi pencapaian dengan rekod-rekod terbaik digunakan untuk memancing penaja.
Meskipun sukan ini masih boleh dikatakan mentah, beberapa syarikat tempatan kini sanggup menaja dan membawa masuk penunggang untuk bertanding mewakili kumpulan mereka.
Pengurus PedalGear, Ahmad Bustomi Zainuddin berkata, tajaan daripada syarikatnya bermula pada tahun lalu kepada penunggang-penunggang yang berpotensi dalam sukan itu.
‘‘Penilaian dibuat berdasarkan bakat dan rekod kemenangan dalam jumlah pertandingan.
‘‘Ini adalah pertandingan pertama empat ahli kumpulan PedalGear dan dua daripada penunggang kami ‘naik podium’ hari ini,” katanya sambil mengingatkan laluan untuk mendapat penajaan bukan sesuatu yang mudah.
Sumber pendapatan
Bagi Pengurus Animal Klover, Rahiman Sham Mohd. Khaidir, penajaan adalah sesuatu yang positif malah sudah menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan penunggang profesional di luar negara.
‘‘Melalui penajaan, kita harap potensi yang dimiliki oleh penunggang kita dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
‘‘Bagi kami pemilihan penunggang pasukan dibuat berdasarkan faktor usia, minat dan semangat yang ditonjolkan,” ujarnya.
Penganjur pertandingan, Wan Azzaruddin Wan Mahmud berkata, kejohanan downhill kali kedua anjuran RideMore Putra Heights itu bertujuan mempopularkan downhill sebagai salah satu daripada cabang sukan berbasikal kepada generasi muda di negara ini dan mengikis tanggapan negatif pada sukan itu.
‘‘Ramai yang mengatakan sukan ini sebagai sukan yang sangat merbahaya dan terlalu ekstrem untuk remaja.
‘‘Sebenarnya dengan perlindungan yang lengkap dan pengalaman menunggang yang sewajarnya, ia adalah sukan yang selamat,” katanya.
Penaja pertandingan termasuk Goodyear, Tat Seng Bicycles Center, PedalGear, Bikes Extreme, Guan Chow Sdn. Bhd., Element JB, Wawasan Medik dan Jannah Restoran.
0 comments:
Post a Comment