(ditaip Rabu lalu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu)
31 Mac 2010
3.50 petang
Saya getap bibir. Sesekali mata resah melirik jam. Hampir ke pukul empat petang. Saya mengelus sekeliling. Pandangan berkalih ke papan jadual elektronik. Baru kejap kedengaran suara pengumuman dikeluarkan. Penerbangan MAS dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tertangguh sejam.
Saya membuka laptop. Cuba menaip-naip sesuatu sementara menunggu. Puas saya memerah, apa yang mahu ditulis? Otak saya agak infiniti. Agak bosan, saya merungut-rungut sendiri kerana tiada sambungan wi-fi di sini.
Hari terakhir di Kelantan, saya ambil kesempatan melawat saudara-mara terdekat. Ada yang sudah agak lama tidak berjumpa, "Eh eh sudah besar kamu ya? Buat apa sekarang?". Antara ayat wajib tatkala disapa oleh mereka.
Berbual dari hal lama-lama hinggalah ke perkembangan terbaru, kami bertukar-tukar cerita. Biarpun jauh di kota, dasar hati saya, keluarga masih pertama. Saya bisa emosi jika diajak berbicara mengenainya.
"Nak buat camana, tinggal yang tua-tua sahaja di kampung ni hah. Yang muda-muda semua dah hijrah ke bandar." Hati saya terusik diluah begitu. Saya pandang raut wajah ibu saudara. Nampak dia tersenyum sambil tangannya rancak mengirai roti jala yang ditempah pelanggan.
Mujur kami mempunyai hari keluarga, antara acara wajib tahunan. Berkhemah dan berkumpul beramai-ramai di pantai, bergelak-ketawa dan beraktiviti bersama, saya kira itulah momen terbaik bagi merapat dan bertukar-tukar perkembangan diri masing-masing.
Seronok juga dari setahun ke setahun melihat jumlah ahli keluarga bertambah- dari yang kecil-kecil hinggalah ke dewasa.
Paling ditunggu-tunggu sebenarnya. Selalunya akan diadakan beberapa siri mesyuarat keluarga, baik di peringkat keluarga di kampung mahupun di KL sendiri.
Tahun ini buat pertama kalinya, saya dan angkatan sepupu sama generasi bakal mengepalai, biarpun tidak secara total, namun perlahan-lahan kami mula mengambil alih tanggungjawab dari generasi lebih awal.
Dari hal merancang aktiviti hinggalah ke program sepenuhnya hari keluarga- antara sumbangan kecil kami buat keluarga.
Saya pasti ibu saudara akan terpalit gembira, ayah saudara juga akan melihat bangga- anak-anak yang dulunya kecil dan hanya tahu bermain dan bergembira kini berubah menjadi mereka yang dewasa dan bisa diharapkan.
Ah, betapa cepat benar masa berlalu bukan?
Esok hari baru bakal bermula. Saya nanti dengan penuh teruja. Tanpa kata-kata, saya hanya mahu lalui hidup ini dan hari-hari seterusnya dengan penuh gembira.
Begitu banyak perancangan, yang pasti saya akan menggalas satu lagi siri kehidupan. Biarpun kabur, saya tidak kisah jika (perlu) merangkak dari bawah.
Bukan senang menyusun kejayaan. Itu saya belajar dari beribu kegagalan.
Sama-sama kita tadahkan kedatangan April dengan harapan. Lebih cerah dan penuh kemanisan.
Kawe@MCC
0 comments:
Post a Comment