Wednesday, March 22, 2006

Jadikan Rukun Tetangga Jentera Perangi Dadah

*petikan ruangan forum Utusan Malaysia
rabu, 22 Mac 2006

MEMBANTERAS dadah adalah satu perang psikologi yang perlu melibatkan seluruh rakyat di luar bandar dan bandar. Oleh itu perlu ada jentera sukarela yang melibatkan rakyat.

Jentera sukarela ini mengawal selia, menjalankan gerakan dan menganjurkan kegiatan komuniti setempat melibatkan remaja dari seawal usia 10 tahun sehingga 30 tahun atau lebih. Badan sukarela itu perlulah diletakkan di bawah seliaan jabatan atau agensi kerajaan yang merancang perang dadah.

Rukun Tetangga contohnya boleh diberi tugas ini dan perlu diaktifkan semula di seluruh negara untuk menjadi mata telinga dan jentera membantu jabatan dan agensi kerajaan.

Membasmi

Sekarang ada Rukun Tetangga, tapi tugasnya tidak diperluaskan untuk tujuan membasmi dadah. Tidak ada jabatan yang terlibat dengan pembasmian dadah menggunakan Rukun Tetangga untuk untuk menjalankan gerakan bersama membasmi dadah di peringkat setempat.

Oleh itu pihak kerajaan hendaklah merancang strategi dari peringkat pusat sehinggalah melibatkan ke setiap rakyat yang berada dalam setiap kawasan kampung dan perumahan di bandar.

Bentuk tugas modus operandi itu perlulah difikir bersama secara terperinci. Gembleng pemikiran secara beramai. Libatkan golongan NGO, ahli akademik dan agensi awam termasuk Jabatan Narkotik, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pemadam.

Mengikut Pengarah Jabatan Narkotik PDRM, untuk menjaga pengawasan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand, 90,000 anggota polis tidak mencukupi. Begitu besar ancaman yang dihadapi.

Saya mengutarakan cadangan ini kerana Tanah Merah, tempat tinggal saya, adalah salah sebuah
daerah hitam dadah.

Sudah terlalu lama kita berusaha menangani masalah ini, tapi tidak nampak keberkesanan yang ketara. Kita perlu mempunyai perancangan yang lebih strategik dengan melibatkan seluruh rakyat, bukan hanya jabatan dan agensi tertentu sahaja.

- MEJAR (B) WAN ABDUL RAHMAN WAN MAHMOOD,
Tanah Merah, Kelantan.

0 comments: