Thursday, December 28, 2006

Gempa jejas internet

Oleh Zainab Yatim dan Hanneeyzah Bariah Baharin (Petikan Akhbar Berita Harian, 28 Disember 2007)


Gegaran di barat daya Taiwan rosakkan kabel dasar laut APCN2


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan internet antarabangsa termasuk di Malaysia mengalami gangguan teruk apabila kabel dasar laut Asia Pasifik Rangkaian 2 (APCN2) terputus ekoran gempa bumi di barat daya Taiwan, kelmarin. Berikutan itu, lebih 3.8 juta pelanggan internet di negara ini mengalami kesukaran melayari laman web yang berpangkalan di luar negara, terutama Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah.


Kerosakan kabel di persisiran pantai selatan Taiwan itu turut mengganggu 98 peratus daripada kapasiti perkhidmatan telefon kepulauan itu dengan Malaysia, Singapura, Thailand dan Hong Kong.


Telekom Malaysia Bhd (TM), dalam kenyataan semalam berkata gempa bumi di Taiwan itu mengakibatkan kerosakan sistem kabel dasar laut termasuk APCN, APCN2, SEA-ME-WE3, CUCN dan FLAG. Kerosakan itu menyebabkan perkhidmatan panggilan antarabangsa ke Taiwan, Jepun, China, Hong Kong, Korea dan Amerika Syarikat terjejas.


TM Net Sdn Bhd pula memaklumkan, perkhidmatan internetnya mengalami gangguan prestasi berikutan sambungan talian sesak dan melampau di beberapa jaringan internet antarabangsa semalam. Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata ia sudah mengambil tindakan segera dengan mengalih laluan trafik ke jaringan sokongan lain bagi mengurangkan kesesakan.


“Pengguna internet di Malaysia dan bahagian lain di negara ini mungkin mengalami sedikit penangguhan dalam mengakses kandungan laman web berpangkalan di luar negara, terutama di AS, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah,” katanya. TM Net menjelaskan, gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter di pantai selatan Taiwan malam kelmarin menyebabkan gangguan pada kabel APCN2 antara Shantou, China dan Tanshui, Taiwan serta Lantau, Hong Kong dan Chongming, China.


“Ia menyebabkan sambungan internet yang melampau pada talian internet TM Net International secara sambungan transit atau pemula, terutama ke negara yang disebutkan,” katanya. Pelanggan boleh menghubungi Pusat Interaksi Pelanggan TM Net di 1-300-88-9515 (24 jam) atau 1-300-88-1515 dari 8 pagi hingga tengah malam atau e-mel ke custcare@tm.net.my untuk pertanyaan lanjut.

0 comments: