Friday, December 29, 2006

KL Hop-On Hop-Off : Menarik Tapi Mahal

KUALA LUMPUR 28 Dis.– Perkhidmatan bas persiaran bandar raya dua tingkat pertama negara KL Hop-On Hop-Off memulakan operasinya hari ini dengan memberikan perkhidmatan percuma untuk tiga hari pertama perkhidmatannya hingga Sabtu ini.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang melancarkan perkhidmatan bas itu berkata, ia diharap dapat memudahkan lebih ramai pelancong mengunjungi tempat menarik di sekitar ibu negara.

“Selain sasaran utamanya iaitu pelancong asing, perkhidmatan bas ini juga diharap dapat menarik minat pelancong domestik untuk melancong di sekitar Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran berkenaan.

KL Hop-On Hop-Off yang dikendalikan Syarikat Elang Wah Sdn. Bhd. menerapkan konsep naik dan turun pada bila-bila masa di sepanjang litar perjalanannya.

Tengku Adnan yang kemudiannya menaiki bas itu mengalu-alukan perkhidmatannya yang turut mesra kepada golongan kurang upaya.

“Menerusi kemudahan yang ada, golongan tersebut turut berpeluang melawat destinasi di sekitar ibu negara,” katanya.

Beliau berharap perkhidmatan itu akan diperluas ke tempat lain seperti Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching sebagai daya tarikan tambahan industri pelancongan di lokasi berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan Elang Wah Sdn. Bhd., Syed Azhar Syed Nadzri. KL Hop-On Hop-Off menyediakan laluan yang menghubungi 42 destinasi pelancongan menarik di sekitar Kuala Lumpur antaranya Istana Negara, Masjid Negara, Taman Burung, Taman Orkid dan Taman Tasik Titiwangsa.

Penumpang boleh menaiki bas sepanjang satu pusingan perjalanan yang mengambil masa kira-kira 45 minit kerana tiket yang dibeli sah selama 24 jam.

“Buat permulaan, empat buah bas akan beroperasi sepenuhnya mulai hari ini dan enam buah lagi akan ditambah menjelang pertengahan tahun depan,” kata Syed Azhar.

Beliau mensasarkan 500 penumpang menggunakan kemudahan itu dalam sehari.

Bas persiaran bandar raya yang mempunyai 60 tempat duduk itu akan beroperasi setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 8.30 malam dengan kekerapan setiap 30 minit.

Harga tiket yang dikenakan ialah RM38 untuk dewasa, RM17 untuk kanak-kanak dan warga emas serta percuma untuk kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah. Tiket boleh didapati di kaunter khas, hotel serta agensi pelancongan terpilih.

Bernama

0 comments: