Oleh Sue Dah
Untuk Renungan Bersama.....
Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan
tetamu tetapku.
"Assalamualaikum", seru Subuh.
"Wa'alaikumsalam", sahutku.
Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Ku tanya khabar
Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.
"Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu
tempat. Kucari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi
satu pun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun
berlinangan.
"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh
rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.
"Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai.
Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku
dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling
ku suka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang kujumpa.
Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka".
Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh.
"Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat
menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada Roti
Shiyam",cadangku pada Subuh.
Subuh menolak dengan hormat. "Roti itu ada tuan punyanya", kata Subuh.
"Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh.
"Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata
Tangisan", pinta Subuh.
Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air
Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan?
Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air tersebut.
Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuh! ya. Dan aku berdetik
didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi
kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan
yang dipintanya.
Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.
"Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku
memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai
Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi.
"Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan
kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti
mimpimu".
Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila melihat
Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?"
"InsyaAllah", jawab Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?"
Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.
"Assalamualaikum", seru Subuh.
"Waalaikumsalam", jawabku kembali.
Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap
langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.
Terlintas difikiran ini apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar,
Maghrib dan Isyak?
Namun Jawapannya? tersirat dalam diri kita sendiri.
"sesungguhnya, apa yang baik itu datangNya dari Allah.. dan yang tak baik
itu adalah kelemahan diri kita sendiri.."
"Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan Menyukai Kelembutan Di seluruh
Permasalahan" (Riwayat Bukhari & Muslim)
Wednesday, April 12, 2006
Kisah Subuh
9:41 AM
No comments
0 comments:
Post a Comment