Tuesday, October 03, 2006

Mesej dari Thailand bhg.3

oleh Ayah Ngah

*kisah ini adalah sambungan dr Mesej dari Thailand bahagian 1 & 2 yang ditulis oleh Ayah Ngah sendiri sempena dengan lawatan beliau ke Thailand baru-baru ini. Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran dan manfaat yg berguna darinya. InsyaAllah...

Suatu masa dahulu kita adalah setanding dengan Thailand dalam berbagai bidang walaupun ada kadangkala dianggap Thailand berada dibelakang kita. Tanggapan bahawa Thailand masih dibelakang kita adalah suatu kesimpulan yang dibuat oleh orang yang ‘berfikiran tradisional’ yang menganggap bahawa keadaan di Selatan Thailand sudah pun mewakili keseluruhan negara itu. Ayahngah tidak berminat untuk mengulas hal ini kerana generasi MCC semua boleh membaca buku ‘Teknik Berfikir’ tulisan Ainon….tetapi ayahngah ada satu persoalan yang perlu direnungi oleh semua. Kenapakah Thailand sekarang ini berada dihadapan kita dalam banyak bidang?. Kenapakah buah buahan dari Thailand memenuhi ruangan dan gerai di pasar pasar umum? Kenapa ada durian dari Thailand, kenapa ada limau dan mempelam dari Thailand? Ayahngah ada menyatakan dalam tulisan ini bahawa Thailand mempunyai tanah yang subur, tetapi keadaan tanah bukanlah satu satunya faktor yang memberikan hasil yang tinggi dan bermutu. Dalam bidang ayahngah sendiri pun turut dipersoalkan dimana sebahagian besar daging lembu yang menjadi hidangan harian kita adalah juga berasal dari lembu hidup yang dibawa masuk dari Thailand. Sekarang ini Thailand mencapai kegemilangan di arena sukan seperti sepaktakraw, badminton, yang dulunya Thailand dikenali sebagai ‘underdog’, bolasepak dan sukan padang (Track events). Dua puluh tahun yang lampau pasukan bolasepak kita saling menyumbat gol dengan pasukan Korea Selatan dan Jepun dalam Pesta Bola Merdeka yang merupakan acara tahunan. Tetapi sekarang ini kita sering tunduk kepada pasukan seperti Laos dan Nepal kalau tidak berakhir dengan keputusan seri, sedangkan Jepun dan Korea Selatan terus melonjak hingga ke taraf dunia.

Ayahngah bukan bermaksud hendak menjadikan Thailand sebagai satu satunya negara yang perlu kita contohi seratus peratus kerana negara itu pun ada juga unsur unsur negatif yang bertentangan dengan nilai nilai masyarakat kita. Hanya nilai nilai yang positif perlu diterapkan, diamalkan dan diperkokohkan. Dalam masa yang singkat tidak mungkin dibuat pemerhatian yang menyeluruh dan rasional. Apa yang dialami terasa tersemat disanubari dan perlu rasanya disampaikan dalam bentuk tulisan ini buat renungan semua khususnya ahli ahli MCC.

Ayahngah juga tidak menafikan bahawa generasi sekarang berpelajaran tinggi dan mempunyai minda yang standing diperingkat global hasil dari sistem pendidikan kita yang universal. Semakin ramai generasi MCC sekarang ini melangkah ke IPT dan sebahagiannya telahpun melepasi tahap tertinggi dalam pelajaran (Syabas MCC….!) Ayahngah hanya ingin menyedarkan generasi pelapis, lebih lebih lagi generasi MCC supaya jangan terlena dengan keadaan disekeliling kita, seharusnya anda semua bangkit dan ‘alert’, pikul tanggungjawab, mainkan peranan dan hadapi semua rintangan mengikut kemampuan masing masing. Ayahngah mahukan setiap invidu generasi MCC menpunyai jati diri, dinamik, tanpa mengenepikan nilai nilai murni masyarakat , adat resam dan lebih lebih lagi ajaran agama. Bersepakat…sebulat suara dalam membuat keputusan dan bina satu kelompok keluarga yang padu dan progresif. Jati diri bermula pada setiap individu dan diperkokohkan dalam keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Bapa kepada Membunga, iaitu Hj. Yaakub, adalah seorang pahlawan yang pernah menyelit kris dipinggang menggadaikan nyawa untuk menentang British suatu masa dulu. Walaupun sudah melewati 5 generasi, ayahngah percaya, walaupun setitik, masih ada darah kepahlawanan yang masih mengalir dalam diri setiap individu generasi MCC. Keturunan pahlawan bukanlah memberi erti bahawa kita adalah hebat dan kuat beradu tenaga atau kekuatan kerana itu semua tidak lagi relevan dizaman ini. Keturunan pahlawan memberi erti semangat, keberanian yang jitu dan sanggup merintangi segala cabaran dalam kehidupan ini tanpa mengenal penat dan lelah. Keturunan pahlawan, semangat pahlawan tentunya mesti diiringi dengan nilai diri dan moral yang tinggi agar dapat dikenali sebagai individu yang mempunyai jati diri. Kerana, walaupun bersemangat, berani tetapi tidak bermoral, individu itu akan hanya dikenali sebagai ‘penyangak’, bukannya pahlawan.

Sempena dengan kepulangan Babalong ke Rahmatullah (semoga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah ke atas rohnya), ayahngah ingin kaitkan tulisan ini dengan Allahyarham semasa hayatnya….

Pahlawan….ya darah kepahlawanan nyatanya mengalir dalam diri babalong tanpa boleh disangkal oleh sesiapa pun. Walaupun tidak lagi memikul senjata tetapi semangat dan jiwanya mencerminkan Allahyarham adalah sebenarnya pahlawan. Restoran Wira, Syarikat Wira Bumi dan Lorong Wira membuktikan bahawa jiwanya terus hidup sebagai pahlawan. Allahyarham adalah seorang individu yang mempunyai jati diri kerana darah kepahlawanan yang diwarisi dari nenek moyang terus mengalir dalam dirinya. Juga mungkin kerana ketabahan hati dan pengalaman hidupnya dimasa kecil dan remaja yang serba serbi dalam kesulitan, telah membentuk Allahyarham sebagai seorang individu yang sukar dicari ganti oleh generasi pelapis. Anda perhatikan sahaja gaya Allaahyarham bercakap, berhujah atau berpidato, dengan suara yang jelas dan bernada tinggi. Anda gambarkan bagaimana cara Allahyarham berjalan, cepat dan pantas. Anda imbas kembali cara Allahyarham membuat keputusan, kemas dan teratur. Ini semua memberi gambaran bahawa Allahyarham adalah pahlawan dan individu yang bersemangat, dinamik dan tidak mudah berputus asa. Ayahngah amat tertarik sekali dengan cara pergaulannya baik keluarga, jiran, sanak saudara dan sahabat handai. Dengan mengenepikan soal soal fahaman dan status, Allahyarham tetap dengan selesa mengunjungi mana mana majlis sama ada anjuran diperingkat atasan atau bawahan menyebabkan beliau dikenali ramai dan dihormati dengan panggilan ‘Meja we’. Disamping menyayangi dan bertanggung jawab kepada keluarganya sendiri, adik beradik, Allahyarham amat mengasihi ibunya dan menempatkan ibunya ditempat yang teratas dimana cebisan coretan yang tertera dalam blog MCC membuktikan bahawa Allhyarham tetap kasih dan menghargai pengorbanan ibunya sehingga ke akhir hayatnya (semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang orang yang mendapatkan keredhaan ibu kandungnya).

Berkopiah putih dikepala menandakan beliau adalah seorang Haji yang tidak melupakan peranan dan tanggugjawab terhadap agamanya. Selain dari dilantik sebagai Penaung di Balaisah peninggalan arwah ayahandanya, Allahyarham juga telah berusaha sedaya upaya membina semula rumah ibadat yang kian uzur dimamah usia. Ahli ahli jemaah yang dating bersolat jemaah di MUsalla Hj. Wan Mahmood tentunya merasa selesa hasil dari titik peluh beliau. Hasil dari usaha yang murni itu tentunya sedang dinikmatinya sekarang ini, di alam barzah.

Banyak yang boleh ayahngah perkatakan tentang arwah ini,

Jawatan jawatan dipegang semasa hayatnya,

Pingat dan anugerah lain yang diperolehinya,

Kejayaan dalam perniagaannya,

Sifat tiada kepentingan diri dan kehidupan bermasyarakat yang dipaktikkannya,

Usia yang tidak menjadi penghalang untuk hidup ceria dan berdarah muda.

(Maafkan ayahngah kerana tidak dapat menulis dengan lebih lanjut tentang Allahyaham..sebak rasanya didada, kian banyak ditulis, kian menitis airmata dipipi ini, tidak disedari lengan baju ayahngah terasa basah buat mengusap airmata……)

Nah…sudah ada seorang individu yang berketerampilan, dikenali sebagai Babalong, lahir dari kalangan ahli MCC yang boleh dicontohi dan ditauladani sepertimana yang ayahngah maksudkan melalui penulisan ini. Jejak langkah dan perjuangannya bersama isterinya yang dikasihi perlu diikuti walaupun setapak dua. Mana yang belum bermula, ayuh!...mulakan langkah, bagaikan langkah seorang pahlawan. Mana yang terlanjur, undurlah setapak, susun kembali langkah dan maju kehadapan dengan penuh keyakinan. Tari yang sumbang atau langkah yang tersandung dimasa yang lampau dijadikan sebagai tauladan dan jangan dijadikan alasan untuk berundur.Insya Allah. Masyarakat dan negara kita memerlukan pelapis untuk membentuk satu angkatan generasi yang dinamik dan komited bagi memajukan negara dalam berbagai bidang dan ayahngah percaya generasi MCC adalah antara individu individu yang berupaya menyumbangkan sesuatu untuk masyarakat dan negara. Jangan terlena dengan kepuasan yang dimiliki dan membiarkan negara kita terumbang ambing dan terus ketinggalan.

Ayahngah ingin mengundur diri dan demikianlah coretan ayahngah untuk tatapan ahli MCC. Maaf ayahngah pinta kerana anda semua terpaksa mengekang mata untuk membaca coretan yang capek ini, yang lahir dari keinsafan dan kesedaran mutlak, perlu disampaikan agar terasa puas dihati ini. Walaupun tidak pernah menulis sebegini, tetapi semangat dan desakan disanubari membuatkan ayahngah cuba meluahkan perasaan. Ayahngah tidak petah bercakap atau berkhutbah seperti Allahyarham babalong dan cukuplah blog ini menjadi medan berbicara. ‘Mesej dari Thailand’ sengaja ayahngah jadikan tajuk penulisan ini sebagai landasan untuk membuka minda semua ahli MCC.


Wassalam.

0 comments: