Friday, November 28, 2008

Kedamaian Melbourne

*petikan Kembara, Berita Harian

Oleh Hasliza Hassan
bminggu@bharian.com.my

Gabungan seni bina lama dengan bangunan pencakar langit serlah ketenangan

FLINDERS Street Station, perhentian kereta api di pinggir bandar Melbourne, yang menjadi pusat rangkaian pengangkutan rel dijadikan tanda bagi memudahkan mencari jalan pulang jika tersesat ketika bersiar-siar di ibu negeri Victoria, Australia.

Ini berikutan bangunan berwarna kuning terletak di sudut antara Jalan Flinders dan Swanston dan bersebelahan Sungai Yarra itu lebih menyerlah berbanding bangunan tinggi serta deretan kedai di sekelilingnya.

Stesen kereta api itu juga menjadi tumpuan 110,000 komuter dan 150 tren setiap minggu yang menggunakan perkhidmatan disediakan Connex’s untuk kawasan bandar serta V/Line bagi perkhidmatan ke daerah lain.

Empat hari di Melbourne atas jemputan Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat Islam, pastinya tidak mencukupi untuk mengunjungi banyak tempat menarik di sana.

Malah, Pasar Queen Victoria hanya dilihat dari dalam teksi ketika menyusur Victoria Street walaupun hati memang teringin ke sana untuk membeli pelbagai barang termasuk barang kulit, baju, cenderamata dan tidak ketinggalan kawasan pasar basah yang menjual keperluan harian
dengan harga murah.

Tram menambah ciri unik bandar Melbourne.

Pandangan tram menyusuri tengah jalan raya menuju ke setiap perhentian juga menarik perhatian. Melbourne mempunyai rangkaian tram terbesar di dunia yang menjadikan bandar itu memiliki keunikan tersendiri.

Melihat kepada sistem pengangkutan dan bentuk jalan raya, ada yang bersimpang siur di simpang empat, rasanya tidak mahu memandu di Melbourne tetapi kesabaran serta persefahaman ditunjukkan pemandu dapat disimpulkan, bandar itu memiliki sistem pengangkutan berkesan.

Begitu juga setiap jalan kecilnya dilengkapi lampu isyarat yang jaraknya tidak jauh antara satu sama lain, tetapi tidak pula mendatangkan masalah kepada pemandu. Sikap pemandu yang mengutamakan pejalan kaki menjadikan keadaan lalu lintas teratur.

Paling penting, setiap jalan mempunyai papan tanda nama jalan bagi memudahkan pengunjung untuk ke satu-satu tempat berpandukan kepada peta yang diperoleh daripada pejabat pusat pelancongan.

Melbourne adalah sebuah bandar raya moden berusia kurang daripada 200 tahun. Pelbagai pembangunan dilaksanakan menjadikan ia sebuah bandar menarik menggabungkan seni bina lama dengan bangunan mencakar langit.

Bandar itu juga dihiasi taman dan kebun bunga dengan latar belakang zaman Victoria serta deretan pokok hebat selain landskap yang sesuai dijadikan pusat rekreasi selain tempat berehat sambil menikmati keindahan sekeliling seperti di Carlton Garden, Royal Park dan Zoo Melbourne.

Terkenal antara bandar yang hidup, aktiviti masyarakatnya bermula dari awal pagi hingga lima petang yang mana pejabat dan pusat beli belah menamatkan waktu perniagaan mereka. Namun, keadaan kembali meriah pada waktu malam apabila restoran serta pusat hiburan menjadi tumpuan ramai.

Bagi pelancong Islam, tidak sukar mendapat makanan halal di Melbourne kerana banyak restoran menjual makanan halal seperti kebab dan makanan Indonesia.

Untuk merasai suasana desa di Victoria pula, pelancong perlu keluar ke daerah berdekatan. Bagi mereka yang sukakan binatang, mereka boleh memperoleh pengalaman memberi makan kangaroo, bermesra dengan beruang koala, boleh ke Maru Koala and Fauna Park di Grantville iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari Melbourne.

Jika ingin mendekati kumpulan pelbagai agama seperti Kristian, Buddha, Islam dan Hindu, City of Greater Dandenong yang terletak 31 kilometer di Tenggara Melbourne dan mempunyai 125,520 penduduk adalah tempat memperlihatkan kepelbagaian budaya tetapi hidup dalam suasana harmoni.

Walaupun lebih terkenal sebagai bandar moden, Melbourne yang memiliki campuran ciri Victoria dan kontemporari tetap menjanjikan pengalaman menarik dengan masyarakatnya yang pelbagai budaya serta ramah.

INFO: Melbourne

* Terletak di sebelah Sungai Yarra ialah ibu negeri Victoria, negeri kedua terkecil di Australia dengan keluasan 227,600 kilometer persegi.

* Bandar kedua yang ramai penduduk di Australia dengan kepadatan kira-kira 3.8 juta (statistik 2007)

* Dibuka oleh peneroka pada 1835, 47 tahun selepas penempatan pertama orang Eropah di sekitar Sungai Yarra.

* Sebagai bandar metropolitan, dengan suku penduduknya adalah dilahirkan di luar negara bersama kedatangan penghijrah dari Asia serta Eropah, Melbourne dianggap sebagai bandar Greek ketiga terbesar di dunia dan bandar Itali terbesar di luar negara Itali.

* Pusat Maklumat Pelancongan di Melbourne terletak di Dataran Federation antara Jalan Swanston dan Flinders.

* Pusat itu dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari dan 10 pagi hingga 6 petang pada cuti am.

0 comments: